Jawapan Esei
Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia dibawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet,media elektronik,dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan diantara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat. Proses globalisasi dan liberasi sistem pendidikan di Malaysia memberikan impak yang positif. Antara impak positif bagi proses globalisasi dan liberasi sistem pendidikan ialah kebolehan berkomunikasi. Perkataan globalisasi itu sendiri membawa maksud dunia tanpa sempadan. Kita sedia maklum bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di dunia. Melalui penggunaan bahasa Inggeris ini kita mampu berkomunikasi dan belajar antara satu sama lain walaupun dalam jarak yang jauh. Sebagai contoh, di openlearning ini sendiri kita boleh berinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira kaum, bangsa walaupun di pengajian yang berlainan. Selain itu, globalisasi juga akan meningkatkan kesediaan kognitif dimana apabila berada di ambang globalisasi, maka individu akan berlumba-lumba meningkatkan dapatan ilmu bagi setanding dengan pencapaian era semasa. Maka tidak hairanlah jika masa kini makin ramai individu yang proaktif dilahirkan. Walaubagaimanapun persaingan yang dilakukan adalah secara sihat tanpa mengenal latar belakang sesorang. Seterusnya, globalisasi juga akan mencetuskan kemahiran teknologi yang baru. Kemahiran teknologi yang baru atau inovasi ini merupakan perkara yang sangat penting dalam memberi persaingan yang hebat antara negara-negara membangun lain. Kemahiran teknologi yang ada pada sesebuah negara menjadi kayu ukur kepada negara lain berkenaan kemajuan negara tersebut. Bukan itu sahaja, kesan positif lain ialah pembelajaran sepanjang hayat. Ini bermakna individu belajar untuk masa hadapannya. Pembelajaran secara berterusan ini menjamin masa hadapan individu yang berfikiran terbuka. Akhir sekali, menjadikan rakyat sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Warganegara yang bertanggungjawab akan memastikan arus globalisasi yang berlaku tidak mencemarkan nilai-nilai norma masyarakat setempat. Individu yang mempunyai nilai jati diri akan memastikan globalisasi yang berlaku tidak akan mengheret sekali nilai-nilai murni dan sensitiviti masyarakat. Dunia pendidikan di Malaysia kini sedang melalui suatu era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Namun, perubahan yang berlaku pada hari ini sebenarnya mengajar masyarakat supaya bersikap lebih prihatin terhadap bidang pendidikan. Dalam konteks ini, walaupun globalisasi pendidikan telah memberi kesan positif kepada sistem pendidikan Negara kita,tetapi kesan negatif yang hadir bersama tidak dapat dinafikan dan diabaikan.Mustahil kita dapat mengelak daripada menghadapi globalisasi kerana tanpanya kita akan terus ketinggalan. Sesungguhnya semua pihak harus menyedari kesan globalisasi ini dan bersedia dengan langkah komprehensif untuk mengatasi sebarang cabaran yang wujud daripada fenomena globalisasi ini.