Jawapan Esei
2) Sistem sekolah satu aliran penting untuk memupuk kesepaduan sosial dalam kalangan anak-anak muda masa kini. Sistem ini dicetuskan oleh tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim supaya kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai. Hal ini telah membangkitkan banyak isu oleh semua pihak seperti ahli politik, tokoh akademik serta pelbagai kaum di Malaysia seperti India dan Cina. Menurut tokoh pendidikan, Prof Datuk Dr Kamaruddin, sistem pendidikan satu aliran ialah sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar di sekolah. Ia bertujuan mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Kewujudan sisitem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar akan mewujudkan satu sistem nilai dan budaya sosial. Melalui sekolah satu aliran, murid kaum lain masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional menerusi pendidikan. Manakala berdasarkan Tan Sri Ainuddin Wahid, sekolah satu aliran adalah sebuah sistem yang dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di Malaysia khususnya Melayu, India dan Cina. Beliau mengatakan bahawa jika sekolah satu aliran tidak dilaksanakan, hal ini akan memberi kesan pada masa hadapan seperti penimbulan masalah perkauman berikutan setiap kaum mendapatpendidikan di sekolah yang berlainan. Tujuan penubuhan sekolah satu aliran adalah untuk perpaduan nasional yang tulen, sejati dan harmoni selari dengan gagasan 1 Malaysia. Sekolah satu aliran perlu diterima sebagai satu wahana untuk membentuk identiti dan jati diri rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Identiti dan jati diri setiap kaum di negara ini akan terus wujud sebagai komponen yang penting yang mewarnai dan mewujudkan perpaduan sejati di Malaysia. Melalui sekolah satu aliran, pelajar kaum lain berhak untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional menerusi pendidikan. Dalam membentuk sistem sekolah satu aliran, terdapat beberapa isu dan cabaran yang dibangkitan. Yang pertama ialah elemen etnik dan kebudayaan. Kebudayaan merupakan sesuatu yang amat penting bagi setiap kaum atau etnik. Hal ini disebabkan kebudayaan setiap bangsa dipandang berharga dan unik serta dapat membezakan sesebuah etnik. Setiap etnik cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kebudayaan masing-masing. Ini telah menyebabkan cadangan penubuhan sekolah satu aliran kurang diterima oleh sesetengah masyarakat di Malaysia terutamanya etnik Cina dan India. Hal ini disebabkan mereka ingin mempertahankan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Pihak kerajaan telah mengambil langkah dalam menyelesaikan masalah hubungan antara etnik. Sebagai contoh, pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet dihasilkan sebagai matlamat untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat pelbagai etnik. Sistem pendidikan melalui bahasa kebangsaan, pengalaman persekolahan yang sama dna peperiksaan yang selaras telah bertujuan mensosialisasikan pelajar ke arah pemikiran yang sama. Selain itu, isu yang melibatkan dan menyentuh sensitiviti perpaduan dan perkauman dalam membincangkan cadangan pelaksanaan sekolah satu aliran. Ramai yang mempersoalkan bahawa penubuhan sekolah satu aliran perlu mula dari dahulu dan bukan sekarang. Jika kita merujuk kembali kepada sejarah dahulu, sistem sekolah satu aliran sebenarnya telah diperkenalkan untuk mengeratkan perpaduan antara kaum. Menurut Tan Sri Ainuddin Wahid, beliau telah menjangkakan masalah perkauman pasti akan timbul di kemudian hari berikutan setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah yang berlainan. Jangkaan beliau betul dan kita lihat apa yang berlaku sekarang. Jika kita bertegas dengan penubuhan sekolah satu aliran dari dulu, maka soal permusuhan antara kaum tidak akan terjadi. Penubuhan sistem sekolah satu aliran akan menyebabkan pemansuhan sekolah jenis kebangsaan. Hal ini disebabkan semua pelajar akan menjalankan persekolahan mereka dengan menggunakan sistem persekolahan yang sama iaitu sekolah satu aliran. Sesetengah masyarakat yang tidak bersetuju disebabkan mereka perlu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Dengan penubuhan sekolah satu aliran, semangat perpaduan kaum dapat dipupuk. Hal ini disebabkan semua etnik dikumpulkan di satu kelas. Kewujudan sekolah satu aliran bukan sahaja dapat menyemai dan memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar, malah membuka ruang masa dan tempat untuk saling mengenali dan memahami etika kemanusiaan tersendiri dan dapat perpaduan nasional dapat dicapai melalui sistem pendidikan satu aliran yang sistematik. Sistem sekolah satu aliran memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai etnik lebih mudah untuk bergaul antara satu sama lain berbanding dengan sistem sekolah yang terdiri daripada pelbagai aliran. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk berkawan dengan rakan daripada etnik lain dan ini bagus sebagai persediaan anak-anak muda bagi menghadapi dunia luar supaya mereka mudah bekerjasama dan menghormati etnik lain. Pengetahuan mengenai etnik lain juga bermanfaat dalam melakukan sesuatu tindakan agar tidak menyinggung perasaan etnik lain. Malahan, jika terdapat rakan yang etnik lain yang bertutur dalam bahasa ibunda mereka, kita akan kurang tersinggung. Hal ini disebabkan kita dapat memahami pertuturan mereka dan dapat mengelakkan salah faham antara satu sama lain. Kemahiran pelajar dalam pelbagai bahasa memudahkan komunikasi antara etnik dalam kehidupan dan membantu memupuk kesepaduan sosial dalam kalangan anak-anak muda. Sebagai kesimpulan, sistem sekolah satu aliran ialah setiap pelajar di Malaysia tanpa mengira etnik belajar sukatan pembelajaran yang sama dan belajar di dalam satu sekolah yang sama serta tidak lagi mempunyai sistem pendidikan bercorak vernakular yang lebih menekankan mengenai sesuatu etnik. Sistem sekolah satu aliran adalah penting untuk memupuk kesepaduan sosial dalam kalangan anak-anak muda kini.