1. Apakah yang dimaksudkan dengan “Sehati Sejiwa?”
Sehati Sejiwa adalah ikatan, hubungan, kebersamaan serta perasaan saling menghormati dan menjaga agar keharmonisan itu selalu berjalan dengan baik. Ini menggambarkan perpaduan, kesefahaman, kesatuan dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini. Sehati Sejiwa juga membawa maksud membantu antara satu sama lain antara kaum dan bangsa di negara Malaysia.
2. Pada pendapat anda kenapakah “Sehati Sejiwa” dipilih menjadi tema Hari Kemerdekaan 2015?
Pada pendapat saya, aspirasi “Sehati Sejiwa” dipilih menjadi tema adalah untuk menzahirkan semangat nasionalisme, kecintaan dan kebersamaan rakyat dalam menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kemerdekaan. Hal ini demikian kerana ia dapat mencerminkan roh kesefahaman, kekitaan dan kesepaduan dalam jiwa seluruh rakyat di negara ini. Matlamat sehati sejiwa juga bertujuan untuk mengenepikan perbezaan pandangan mahupun fahaman politik serta membentuk jati diri rakyat dalam meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.Pada masa yang sama, ini merupakan usaha untuk menyemaikan perasaan cinta akan bangsa dan negara serta semangat patriotik dalam sanubari semua rakyat kerana kita adalah rakyat Malaysia. Perasaan ini seharusnya dirasai bersama.
3. Kenapakah pentingnya semua rakyat Malaysia perlu “Sehati Sejiwa?”
Memang tidak dapat disangka bahawa keupayaan dan kejayaan membina dalam membentuk Malaysia yang bersatu padu bukan satu perkara yang mudah. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama perlu bersatu dalam kepelbagaian. Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 dijadikan pengajaran kepada kita bahawa betapa pentingnya rakyat Malaysia hidup bersatu. Rakyat Malaysia perlu sehati sejiwa kerana nilai ini dapat mencerminkan kesepaduan antara kepelbagaian etnik di Malaysia dan mendorong kepada pembentukkan satu identiti perpaduan di Malaysia. Perpaduan yang kukuh dan kestabilan politik yang dinikmati selama ini memberi ruang yang cukup sihat untuk kerajaan bagi melaksanakan segala dasar pembangunan dengan lancar dan berkesan. Dengan menyemai nilai sehati sejiwa, semua kaum dapat menghayati dan memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Mereka berganding bahu dalam memberikan khidmat dan taat setia kepada negara. Hal ini dapat menyatupadukan semua kaum di Malaysia dan mewujudkan kesejahteraan dan keamanan di samping menjamin kedaulatan negara. Kesetiaan setiap individu dipupuk untuk mengelakkan sebarang perbuatan salah laku kepada negara. Maka pentingnya sehati sejiwa disemai dalam hati setiap individu di Malaysia untuk memastikan kejayaan dan kedudukan Malaysia sentiasa berdaulat di sejagat dunia.