Soalan
Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan di dalam gambar rajah di atas, tuliskan satu kertas refleksi mengenai peranan pendidikan di dalam membina kesepaduan sosial berdasarkan pengalaman anda sendiri.
Peranan Pendidikan di dalam membina kesepaduan sosial adalah sangat penting. Pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal. Oleh itu,menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan, terdapat beberapa langkah yang telah diambil dalam usaha ke arah mencapai matlamat ini, iaitu :
a) Bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama Kedudukan serta peranan Bahasa Kebangsaan dalam sistem pentadbiran dan sistem pendidikan ini dinyatakan dalam beberapa dokumen penting kerajaan. Akta Pelajaran 1961 dan Rancangan Lima Tahun Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama adalah satu prinsip Dasar Pendidikan Kebangsaan. Rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa Bahasa Kebangsaan bertindak sebagai tali penghubung terpenting dalam usaha memupuk perpaduan rakyat kerana ia boleh berperanan sebagai bahasa pengantaraan antara masyarakat kita yang berbilang kaum. Malah, Bahasa Melayu juga diwajibkan penggunaannya sebagai bahasa rasmi di negara kita. Selaras dengan kedudukan serta peranannya, Bahasa Melayu merupakan sebagai salah satu matapelajaran wajib yang perlu diajar di semua peringkat serta jenis sekolah di Malaysia. Masyarakat Malaysia seharusnya sedar bahawa usaha untuk membangunkan negara ini adalah usaha bersama iaitu tanggungjawab setiap kaum yang merupakan rakyat Malaysia. Kesedaran tentang kepentingan bahasa amat penting kerana melalui perkongsian satu bahasa, kita dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan. Penggunaan bahasa yang seragam juga mampu membantu menghilangkan perasaan prasangka dan menigkatkan kefahaman budaya sesuatu kaum tentang budaya kaum yang lain. Sikap saling memahami ini akan mewujudkan sikap hormat menghormati yang seterusnya akan membantu memupuk integrasi kaum dan juga perpaduan.
b) Mewujudkan kurikulum yang sama Kurikulum merupakan satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala pengetahuan, kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek. Di Malaysia, penggunaan kurikulum di sekolah adalah sama iaitu berdasarkan Kurikulum Kebangsaan. Kurikulum Kebangsaan merupakan satu lagi ciri Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk mewujudkan keperibadian ke arah pembentukkan perpaduan kaum di negara kita. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan yang terbaru Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) digubal dengan bertujuan untuk membangunkan modal insan yang berilmu pengetahuan disamping menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat patriotik dan sikap saling menghormati. Bagi pendidikan sekolah menengah yang masih menggunakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pula, ia merupakan kesinambungan kurikulum sekolah rendah yang menekankan pendidikan yang seimbang dan bersepadu. Melalui kurikulum yang sama, asas perpaduan dapat dipupuk semenjak dari alam persekolahan lagi. Pendedahan awal ini mampu memupuk semangat patriotisme yang tinggi terutamanya melalui subjek Sejarah ataupun Sivik/Kewarganegaraan.