1. Nyatakan apa yang diterangkan oleh Dr Nazri dalam video tersebut (minimum 100 patah perkataan)
What is the answer to this question?Dalam video tersebut, Dr. Nazri telah menerangkan beberapa perkara khususnya definisi-definisi perlembagaan, perlembagaan di Malaysia, kepentingan perlembagaan dan sejarah penggubalan perlembagaan persekutuan di Malaysia. Terdapat beberapa definisi perlembagaan oleh para sarjana yang telah disebut oleh Dr. Nazri dalam video tersebut. Antaranya ialah “undang-undang dasar yang menjadi teras panduan pemerintahan negara”. Selain itu, perlembagaan juga bermaksud “undang-undang tertinggi dan asas kepada semua undang-undang lain dalam negara. Secara umumnya, menurut Dr. Nzri sendiir, perlembagaan bermaksud undang-undang asas bagi setiap negara yang perlu dipatuhi. Oleh sebab itu kerajaan telah menjadikannya salah satu daripada rukun negara iaitu “keluhuran perlembagaan”. Menurut beliau, perlembagaan di Malaysia berbentuk bertulis dan mengandung 15 Bab, 183 Perkara dan 13 Jadual. Perlembagaan di Malaysia juga menyentuh bidang kuasa perundangan, kehakiman dan eksekutif. Di samping itu, ia juga menyentuh aspek bahasa, agama, kewarganegaraan, hak istimewa dan sebagainya. Hal ini membuatkan perlembagaan di Malaysia istimewa daripada perlembagaan di negara-negara lain kerana ia menyentuh unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan. Selain itu, beliau juga menyentuh tujuh kepentingan perlembagaan dalam video tersebut. Yang pertama, perlembagaan mewujudkan suatu bentuk pemerintahan dan pentadbiran kerajaan yang adil, sistematik dan berkesan. Yang kedua, ia mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh badan yang mentadbir negara. Yang ketiga, ia mewujudkan sebuah negara yang berwibawa yang menekankan kuasa rakyat dalam demokrasi. Seterusnya, perlembagaan mengawal dan memantau pentadbir sesebuah kerajaan selaras dengan prinsip perlembagaan. Selain itu, ia menjelaskan hak dan peranan serta tanggungjawab rakyat sebagai warganegara. Yang terakhir, ia menjamin perkembangan dan kesinambungan sesebuah negara bangsa di mana rakyatnya mempertahankan kedaulatan. Isu terakhir yang disentuh oleh Dr. Nazri ialah sejarah penggubalan perlembagaan persekutuan di Malaysia. Dibangunkan oleh tiga kelompok etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India. Perjuangan ini telah diteruskan apabila Malayan Union 1946 telah diperkenalkan, di mana ia mendapat penentangan keras dari Orang Melayu khususnya kerana hak istimewa mereka terancam. Perjuangan mereka telah menghasilkan persepakatan antara Orang Melayu dan British yang telah memperkenalkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Malayan Union 1946. Perlembagaan ini telah mengembalikan hak-hak istimewa Orang Melayu. Di samping itu, ia juga telah memulakan detik kerjasama antara etnik. Orang Melayu, Orang Cina dan Orang India bekerjasama berkongsi kuasa untuk memenangi pilihanraya. Parti yang mengamalkan kerjasama ini dinamakan Perikatan. Dengan sepakat suara rakyat, Perikatan telah memenangi 51/52 kerusi dan Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Ketua Menteri Tanah Melayu. Beliau dan kabinet-kabinet yang lain meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada British. Maka, melalui Perjanjian London 1956, Suruhanjaya Reid 1956 telah ditubuhkan bagi merangka asas perlembagaan untuk tanah Melayu. Pada waktu ini, Jawatankuasa Kerja 1956 telah ditubuhkan untuk menyemak tetapi disemak balik cadangan Suruhanjaya dengan menerima pandangan daripada rakyat, raja-raja Melayu dan sebagainya. Setelah dipersetujui oleh semua pihak, perlembagaan tersebut telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1957. Kesimpulannya, perlembagaan amat penting dan merupakan undang-undang tertinggi bagi sesebuah negara. Oleh itu, kita mestilah menghormati dan mencontohi jasa tokoh-tokoh terdahulu yang telah memperjuangkan perlembagaan negara yang masih diguna pakai sehingga ke hari ini.
2. Berikan refleksi anda berdasarkan objektif pembelajaran video ini. Gunakan gantinama diri "saya" dalam membuat refleksi (minimum 200 patah perkataan)
What is the answer to this other question?Setelah menonton video selama 9 minit 40 saat oleh Prof Madya Dr. Nazri ini, terdapat beberapa objektif pembelajaran yang telah saya capai. Yang pertama, saya dapat mengetahui definisi dan sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan dengan lebih mendalam. Sepertimana kita lihat pada minit terawal video tersebut, ramai rakyat Malaysia tidak cakna dan ambil berat tentang perlembagaan persekutuan negara ini. Bagi mengatasi masalah tersebut, video tersebut adalah sangat berguna dan bermanfaat. Tambahan pula, sebagai seorang pelajar undang-undang, perkara-perkara ini sangat berguna bagi saya yang banyak menggunakan statut Perlembagaan Persekutuan dalam kehidupan seharian. Dengan menonton video ini, saya berasa lebih bersemangat untuk membaca statut tersebut kerana telah mengetahui definisi dan sejarah penggubalan di sebaliknya. Antara definisi yang menarik perhatian saya ialah “undang-undang tertinggi dan asas kepada semua undang-undang lain di dalam negara”. Definisi tersebut menunjukkan betapa tingginya kedudukan Perlembagaan Persekutuan dalam sesebuah negara yang tidak boleh untuk dilanggar. Sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan yang telah diterangkan oleh Dr. Nazri secara terperinci juga telah menarik perhatian saya di mana prosesnya tidak mengambil masa yang pendek dan memerlukan usaha yang banyak. Selain itu, saya juga dapat mempelajari nilai-nilai yang terdapat pada tokoh-tokoh yang terlibat semasa penggubalan perlembagaan persekutuan terdahulu. Antaranya ialah nilai akomodatif. Sikap akomodatif merupakan nilai di mana setiap kumpulan etnik menghormati norma kumpulan etnik yang lain tetapi tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Contoh yang terdapat dalam video tersebut ialah semasa Malayan Union 1946 diperkenalkan, Orang Melayu menentangnya sekeras-kerasnya kerana perlembagaan tersebut telah mengancam kedudukan dan hak-hak istimewa Orang Melayu di Tanah Melayu. Oleh itu mereka memperjuangkan hak-hak mereka sehingga dikembalikan melalui Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Malayan Union 1946 tanpa menjatuhkan etnik-etnik yang lain. Di samping itu, nilai kerjasama juga dapat saya pelajari daripada tokoh-tokoh tersebut. Sebagai contoh, Orang Melayu, Orang Cina dan Orang India bekerjasama memperjuangkan kemerdekaan negara bersama-sama dengan menubuhkan parti yang diberi nama Perikatan. Hasilnya, mereka telah memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam pilihanraya atas permuafakatan rakyat. Namun begitu, menurut apa yang saya lihat pada hari ini, nilai-nilai tersebut kurang diamalkan oleh pemimpin dan rakyat negara ini. Negara terpecah-belah mengikut etnik masing-masing, rakyat menghina budaya dan agama satu sama lain terutamanya di media sosial. Dari segi politik pula, sesetengah penyokong dan ahli parti-parti politik menghina dan menimbulkan fitnah untuk menjatuhkan satu sama lain. Akhir sekali, dengan menonton video tersebut, rasa cintakan dan banggakan negara dapat dipupuk dalam diri saya. Terdapat beberapa perkara yang telah saya pelajari dalam video tersebut yang membuatkan saya berasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Yang pertama ialah perlembagaan di Malaysia menyentuh unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan. Menurut Dr. Nazri, perkara ini yang menjadikan perlembagaan di Malaysia istimewa daripada perlembagaan di negara-negara lain. Selain itu, Malaysia mempunyai sebuah perlembagaan yang utuh dia mana ia merupakan undang-undang tertinggi dan wajib dipatuhi oleh semua. Di samping itu, saya telah pelajari perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam memperjuangkan penggubalan perlembagaan persekutuan. Saya berasa amat terharu apabila mendengar penjelasan Dr Nazri dalam video tersebut tentang hal ini. Walaupun diuji dengan pelbagai rintangan, mereka tidak berputus asa dan terus berjuang meneruskan misi bersama-sama dan hasil perjuangan mereka masih diguna pakai sehingga ke hari ini. Kesimpulannya, melalui video ini, banyak perkara bermanfaat yang telah saya pelajari daripada sejarah proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan perjuangan tokoh-tokoh yang terlibat. Saya berharap agar masyarakat kini termasuk diri saya sendiri lebih mengambil berat tentang perlembagaan persekutuan negara tercinta. Di samping itu, saya berharap agar saya dapat mencontohi dan mengaplikasikan nilai-nilai yang ditunjukkan oleh pejuang-pejuang negara pada waktu tersebut dalam kehidupan seharian agar dapat menjadi seorang rakyat Malaysia yang hebat dan membanggakan negara.