Saidatulafza's 5.A4 REFLEKSI VIDEO 5.3 - OpenLearning

1. Nyatakan apa yang diterangkan oleh Dr Nazri dalam video tersebut (minimum 100 patah perkataan)

What is the answer to this question?
Berdasarkan video 5.3, Dr Nazri menerangkan konsep ‘Tiang Seri Hubungan Etnik’ yang menjadi paksi utama yang membentuk kepada Perlembagaan Persekutuan.Terdapat empat paksi utama atau ‘tiang seri’ dalam pembentukan perlembagaan iaitu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak dan kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera (Sabah dan Sarawak),Kedaulatan Raja-raja Melayu,dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Keempat-empat paksi tersebut telah dirangkumkan dalam sebuah perjanjian lisan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial. Kontrak Sosial merupakan satu permuafakatan antara etnik yang dicapai sebelum merdeka (tidak ditulis di dalam Perlembagaan Persekutuan 1957) melalui satu persetujuan bersama dikalangan orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Berdasarkan kontrak sosial ini, orang bukan Melayu telah diberikan hak kewarganegaraan yang longgar berasaskan prinsip Jus soli. Manakala orang Melayu diperuntukkan dalam perlembagaan mengenai agama Islam, Bahasa Melayu, hak dan kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera (Sabah dan Sarawak), dan kedudukan Raja-raja Melayu. Ada beberapa peruntukan yang melindungi institusi Raja, contohnya dalam Perkara 38 (4), menjelaskan bahawa tiada pindaan hak Raja-raja Melayu boleh dibuat tanpa persetujuan daripada Majlis Raja-raja Melayu. Peranan Yang di-Pertuan Agong amat besar di peringkat persekutuan, antaranya Baginda adalah pemerintah Angkatan Tentera Persekutuan,mengampun dan menangguhkan sabitan kesalahan di Mahkamah Tentera, bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan orang bukan Melayu. Seterusnya dalam Perkara 3 (1), agama Islam merupakan agama persekutuan, namun agama yang lain bebas diamalkan. Perkara 3 (1) merupakan asas kepada Perkara-perkara lain seperti Perkara 8 yang menyatakan hak sama rata dalam perlantikan jawatan dan undang-undang, kecuali hal-hal yang berkaitan agama Islam seperti perlantikan Mufti dan Pengarah Jabatan Agama Islam. Seterusnya, Perkara 11(4) menegaskan bahawa agama Islam boleh disebarkan dikalangan penganut bukan Islam,tetapi agama bukan Islam tidak boleh disebarkan dikalangan orang Islam.Selain itu dalam Perkara 12 (2) pula kerajaan dibenarkan mengguna peruntukan kewangan untuk menegakkan syiar Islam, manakala dalam Perkara 150 (6A) menegaskan walaupun dalam keadaan darurat, hal-hal tentang agama Islam tidak boleh dipinda sama sekali.

2. Berikan refleksi anda berdasarkan objektif pembelajaran video ini. Gunakan gantinama diri "saya" dalam membuat refleksi (minimum 200 patah perkataan)

What is the answer to this other question?
Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia kita perlu mengetahui dan memahami unsur-unsur tradisi dan permuafakatan sosial dalam pembentukan perlembagaan kerana ia merupakan bukti pengorbanan dan perjuangan etnik-etnik di Tanah Melayu pada zaman dahulu. Perlembagaan merupakan asas utama kepada pembentukan sesebuah Negara yang berdaulat. Tujuan dan fungsi perlembagaan adalah untuk mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil, mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat, alat untuk menyelesaikan masalah, menjamin riwayat negara bangsa serta mengekalkan keamanan dan kestabilan Negara. Malaysia sebagai sebuah Negara yang berdaulat memiliki perlembagaannya yang unik, unggul, dan tersendiri yang juga dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Unsur-unsur tradisi merupakan satu pra-syarat dan permuafakatan sosial yang telah dipersetujui oleh orang Melayu dan orang bukan Melayu. Ini bermakna orang Melayu dan Bumiputera diberikan hak keistimewaan, kedudukan dan kedaulatan Raja-raja Melayu, Islam menjadi agama rasmi persekutuan, dan Bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan sebagai pra-syarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik bukan Melayu. Melalui permuafakatan sosial ini, orang bukan Melayu diberikan hak kewarganegaraan yang longgar berasaskan prinsip Jus soli. Walaupun pada permulaan berlaku penentangan orang Melayu terhadap konsep kerakyatan terbuka melalui konsep Jus soli tetapi ia bukanlah bersandarkan kepada emosi semata-mata, sebaliknya berpunca daripada sejarah mereka yang panjang di Tanah Melayu. Akhirnya, tuntutan-tuntutan kewarganegaraan terbuka oleh orang bukan Melayu diterima tetapi bersyarat, iaitu unsur-unsur tradisi dikekalkan.Sejarah ini jelas menunjukkan kepada semua etnik di Malaysia bahawa sebarang usaha untuk mencabar asas perlembagaan hanya akan mengakibatkan ketidakstabilan dan huru-hara dalam negara.

Comments

Chat