Izzatul Ismah's 6.A1 : Refleksi Perjuangan Dato Onn - OpenLearning

IZZATUL ISMAH BINTI ISKANDARRANI

A152349

FPER 15/16 UKM

DR. FAZILAH BINTI IDRIS (SET 21)

Mantan   Menteri   Besar Johor   ini,   merupakan pengasas   dan Yang  DiPertua   pertama UMNO. Beliau merupakan peneraju utama gerakan untuk menentang gagasan Malayan Union. Beliau juga merupakan tokoh pelopor dan pemangkin perpaduan dan kerjasama antara kaum diMalaysia. Laungan ‘HIDUP MELAYU’ yang dicetuskan oleh Dato` Onn Jaafar Berjaya membangkitkan semangat kaum Melayu untuk memperjuangkan bangsa Melayu, membela kedudukan Raja-Raja, agama, bahasa, kebudayaan, pendidikan ekonomi dan hak-hak istimewa Orang Melayu. Pada mulanya, Dato Onn Jaafar adalah Presiden UMNO yang pertama sejak UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Namun, Dato Onn berasa kecewa apabila cadangan beliau untuk mengubah dasar perjuangannya daripada “Malaya untuk Melayu” kepada “Malaya untuk Malayan” ditentang keras kerana ketika itu rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk berkongsi kuasa. Dato’ Onn mencadangkan bahawa keahlian UMNO dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Ahli-ahli UMNO telah memberi tentangan hebat kerana mereka berpegang kepada Perlembagaan UMNO iaitu hanya untuk orang Melayu sahaja. Oleh sebab cadangan itu ditentang, Dato’ Onn secara sukarela meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO. Perletakkan jawatan Dato’ Onn ini merupakan satu kehilangan besar kepada kepimpinan UMNO pada saat itu. Beliau menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP) pada 16 September 1951 sebagai wadah perjuangan politik tanpa kaum dan keturunan. Parti ini dibuka untuk semua kaum di Malaya tetapi lebih mendapat sambutan daripada kaum Cina dan India kerana orang bukan Melayu keberatan memberi sokongan moral kepada Dato’ Onn kerana sikap orang Melayu yang menentang keras dasar “Malaya untuk Malayan”. Mereka sedar bahawa sesuatu pergerakan politik di Malaya mustahil untuk mencapai kejayaan jika tidak disertai oleh orang Melayu. Akhirnya, IMP tidak Berjaya diteruskan. Februari 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Tujuan dan dasar-dasar Parti Negara tidak bercorakkan perkauman tetapi memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Parti Negara menyekatkan keahlian orang bukan Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu tetapi malangnya perubahan corak perjuangan baru yang ditunjukkan oleh Dato’ Onn menerusi Parti Negaranya itu tidak mempunyai daya penarik lagi seperti semasa beliau memimpin UMNO dahulu. Oleh itu, partinya gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan 1955. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS. Dato’ Onn menjadi ‘Ketua Pembangkang’ dalam Dewan Rakyat dengan kemenangan ini. Walaupun dalam sejarah politiknya beliau keluar dari UMNO, pernah menubuhkan dua parti berlainan, menjadi pembangkang dalam dewan perwakilan tetapi beliau merupakan pencetus yang menentukan arah serta hala tuju perjuangan bangsa Melayu. Selain itu, cadangannya untuk menyatukan semua kaum dibawah satu parti yang pada asalnya ditolak telah diterima sekarang. Sumbangan Dato’ Onn dalam perjuangan ke arah kemerdekaan negara pada hakikatnya tidak boleh dinafikan. Meskipun ada suara-suara yang melabelkan beliau sebagai pemecahbelah perpaduan UMNO dan pembunuh semangat kemerdekaan, beliau tetap merupakan seorang tokoh Melayu terulung yang mempunyai wawasan dan pandangan yang begitu jauh.

Comments

Chat