Soalan 1
Bincangkan perbezaan antara agama dan penganutnya. Misalnya, antara Hindu dan Hinduisme, Muslim dan Islam, dan sebagainya.Berdasarkan Bahasa Sanskrit, perkataan agama itu berasal daripada kata dasar a-gam-a. Kata awalan bermaksud tidak dan diikuti dengan ‘gam’ yang bererti ‘pergi’. Kemudian ’a’ yang merupakan kata akhiran pula memberi makna sifat tentang kedatangan . Oleh itu, dapat difahami bahawa agama itu adalah suatu pegangan ataupun pedoman hidup yang berkekalan. Sementelahan itu, rangkai kata agama dalam Bahasa Inggeris ialah ‘religion’ yang berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘relegere’ , ‘relegare’ dan ‘relegee’. ‘Relegere’ bermaksud suatu keyakinan dan nilai yang perlu dipelihara agar tidak menyimpang, manakala, ‘Relegare’ merujuk kepada ikatan terhadap kuasa ghaib yang memiliki kesucian. Akhir sekali, ‘Relegee’ ditakrifkan sebagai pembacaan yang dikaitkan dengan sifat agama yang memiliki himpunan kaedah untuk menyerahkan diri kepada Tuhan dalam bentuk kitab yang dibaca. Umumnya, agama itu dapat disimpulkan sebagai hubungan suci antara penganut sesuatu agama dengan kekuasaan luar biasa yang dianggap dapat memberikan jaminan perlindungan terhadap manusia. Manakala, penganut pula merupakan manusia yang mempercayai sesuatu fahaman dalam sesebuah agama dan mengamalkan ajaran agama tersebut dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, orang Melayu yang tinggal di Malaysia adalah Muslim dan mereka mengamalkan ajaran Islam. Begitu juga dengan, etnik Cina yang menjadikan Buddha sebagai agama yang melambangkan identiti kaum Cina. Akan tetapi, terdapat segelintir etnik Cina yang telah memeluk agama Islam dan menjadi Muslim. Keadaan yang sama juga berlaku kepada masyarakat India yang lazimnya menjadikan agama Hindu sebagai agama rasmi mereka. Namun, wujud sebahagian masyarakat India yang memilih untuk memasuki agama Kristian. Oleh itu, dapat difahami bahawa agama itu tidak hanya dilambangkan menerusi sesuatu kaum sahaja ekoran kebebasan memilih agama itu terletak pada tangan rakyat.
Soalan 2
Bincangkan bagaimana budaya setempat mempengaruhi amalan agama masyarakat.Pertembungan budaya setempat dengan ajaran agama yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat telah menzahirkan keunikan masyarakat tersebut. Secara ringkasnya, budaya setempat yang merangkumi cara hidup, amalan dan kebudayaan sesebuah kaum berperanan dalam mewarnai kehidupan sang penganut agama. Meskipun, berbeza ajaran agama, namun, sesebuah masyarakat tersebut boleh dipengaruhi oleh kebudayaan kaum yang lain menerusi proses asimilasi. Hal demikian dapat dilihat menerusi adat perkahwinan masyarakat Melayu yang mana mengamalkan budaya setempat seperti majlis berinai ketika malam sebelum perkahwinan diadakan. Amalan berinai ini pada dasarnya tidak terkandung dalam ajaran Islam, sebaliknya, ia merupakan amalan kebudayaan oleh masyarakat India. Terdapat juga contoh lain yang boleh dilihat untuk memahami dengan lebih mendalam akan perkaitan antara budaya setempat dengan amalan agama di Malaysia seperti kaum Chetti di Melaka. Kaum Chetti ini merupakan kaum India yang beragama Hindu tetapi mengamalkan beberapa adat kaum Melayu seperti memakai pakaian kebaya dan memasak lauk tradisional yang bercirikan masakan Melayu. Sesungguhnya, pengaruh budaya setempat dalam ajaran agama ini boleh berlaku dengan wujudnya konsep penerimaan daripada masyarakat itu sendiri dan kebolehan mereka untuk menyesuaikan kebudayaan tersebut dengan tuntutan ajaran agama yang mereka amalkan.